Wednesday, 22 May 2013

Cara Hidup Berpandukan AL-QURAN



image
Marilah kita bersama-sama merenungi sepotong ayat yang difirmankan oleh Allah s.w.t. di dalam surah Al-Nisa iaitu ayat 136 yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan (kepada) kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan kepada Rasulnya (Muhammad) dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu.
Dan sesiapa yang kufur (ingkar) kepada Allah dan malaikat-malaikat-Nya dan kitab-kitab-Nya dan Rasul-rasulnya dan hari akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan sejauh-jauhnya.
Ayat ini menunjukkan bahawa beriman kepada kitab suci Al-Quran dan menjadikan isi kandungannya sebagai pedoman dan panduan hidup kita merupakan suatu kewajipan bagi kita. Tidak ada seorang mukmin pun yang boleh mengatakan bahawa isi dan suruhan di dalam Al-Quran sudah tidak sesuai di zaman moden ini. Bagi mereka yang mengatakan sedemikian dengan bermaksud menghina dan memperkecilkan isi kandungan Al-Quran sesungguhnya ia telah sesat di akhirat kelak, Allah menyediakan untuknya azab.
Marilah kita bertanya kepada diri kita, sejauh manakah usaha kita untuk menambah keimanan dan keyakinan kita dengan menjadikan Al-Quran sebagai pedoman dan petunjuk dalam kehidupan kita sehari-hari dan sejauh manakah usaha kita untuk menghayati isi dan kandungan Al-Quran yang diturunkan sebagai petunjuk dan hidayah untuk umat manusia.
Untuk melihatkan bahawa kita benar-benar beriman dan yakin terhadap isi dan kandungan Al-Quran tersebut perlulah ada pada diri kita berapa ciri sebagai tanda dan ukuran. Ciri yang dimaksudkan itu ialah:
Yang pertama, hendaklah kita sentiasa membaca dan berusaha menghafalnya. Dengan membaca Al-Quran ia dapat menambah kebersihan jiwa, ketenangan, kaimanan dan ketakwaan kepada Allah. Dengan membaca Al-Quran itu juga kita akan mendapat ganjaran pahala dan syafaat dari Allah, sebagaimana maksud sabda junjungan kita nabi Muhammad s.a.w.: "Bacalah Al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya".
Ciri yang kedua pula ialah Al-Quran itu hendalah di baca dengan tertil iaitu dengan bacaan yang terang, jelas dan betul mengikut ilmu tajwid. Memperelokkan suara ketika membaca Al-Quran akan menjadikan bacaan tersebut menyusuk ke dalam jiwa lalu menyentuh perasaan pendengarnya. Ciri yang ketiga ialah hendaklah kita sentiasa meneliti makna-makna ayat Al-Quran, memahami kandungan dan pengertian yang disampaikan dalam Al-Quran itu. Allah berfirman dalam surah Muhammad ayat 24:
Yang bermaksud: Maka apakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran.
Ciri yang keempat, hendaklah Al-Quran itu diajarkan kepada semua umat Islam iaitu disebarkan Al-Quran dengan seluas-luasnya agar mereka juga akan dapat terus melaksanakan tanggungjawab mengamalkan dan memelihara kitab Allah tersebut dari satu generasi ke satu generasi selanjutnya. Mempelajari dan seterusnya mengajarkan Al-Quran itu merupakan sunah suruhan Rasulullah s.a.w. sebagaimana anjuran baginda dalam sabdanya yang bermaksud: Sebaik-baik kamu ialah mereka yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.
Seterusnya hendaklah kita berusaha mengamalkan segala isi kandungan Al-Quran tersebut. Inilah munafaat dan faedah yang paling penting dan besar yang dapat kita nikmati dan perolehi daripada Al-Quran setelah kita memahami isi kandungan. Amatlah buruk sekali jika kita hanya mengetahui isi kandungan Al-Quran dan memperkatakannya, tetapi kita gagal atau tidak mahu beramal dengannya. Allah s.w.t. berfirman:
Yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya? amat besar kebenciannya disisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
Marilah kita hiasi hidup kita ini dengan memahami dan menghayati isi kandungan Al-Quran. Kita munafaatkan hidup kita dengan membaca, menghafal, mempelajari segala petunjuk yang terkandung di dalamnya, memahaminya serta menghayati dan mengamalkan segala ajaran yang ada di dalamnya. Semoga Allah mencurahkan kepada diri kita, anak-anak kita dan isteri-isteri kita keberkatan dan keredhaannya sepanjang hayat kita di dunia dan kita mendapat kebahagiaan di akhirat nanti.
Kita pada hari ini sewajibnya bersyukur kehadrat Allah s.w.t. kerana dengan sifat pemurahnya kita tidak dibiarkan hidup sendirian dan kita tidak dilepas hidup tanpa panduan. Kita dibekalkan oleh Allah dengan kitab suci Al-Quran Al-Karim untuk membimbing dan memandu kita dalam menghadapi hidup dibumi ini. Kita dijadikan dan diwujudkan oleh Allh s.w.t. dimuka bumi ini adalah untuk bekerja dan beramal mengikut panduan dan pengajaran yang diberikan oleh Al-Quran. Dan Allah juga yang memerhati dan menilai segala perbuatan kita itu. Kita sendiri tidak mempunyai kuasa untuk menilai perbuatan kita dan kita juga tidak diberi kuasa untuk membalas perbuatan kita sendiri.
Marilah sama-sama kita mempelajari Al-Quran, menadah dan membaca makna dan pengajaran Al-Quran dan seterusnya beramal dan bekerja mengikut Al-Quran, kerana Al-Quran adalah panduan hidup kita.
Yang bermaksud: Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk kejalan yang lebih lurus dan memberikan khabar gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.

Konsep Ilmu Dalam Islam

KONSEP ILMU DALAM ISLAM


DEFINISI ILMU
Ilmu adalah bermaksud sistem penelitian, cara berfikir yang sistemetik dan radikal yang mampu untuk merumuskan jawapan yang aktif dan cekap. Perkataan ilmu adalah asalnya dari kalimah arab iaitu “alima” yang beerti mengetahui. Kata asalnya ialah “al-ilm” yang membawa erti “pengetahuan”. Bagi masyarakat kita mereka telahmengaitkan perkataan ini dengan merangkaikan kedua-dua makna menjadi ilmu pengetahuan. Namun yang demikian ianya masih dalam skop makna yang sama.

KONSEP ILMU DALAM ISLAM

Objektif
1. Menjelaskan definisi, matlamat dan konsep ilmu dalm Islam.
2. Menentu dan menilai pencapaian tamadun Islam dalam bidang pendidikan.
3. Memberi beberapa contoh institusi pendidikan yang diasaskan oleh tamadun Islam.
4. Mengenalpasti peranan konsep ilmu dalam Islam dalam pembinaan budaya.

SUMBER – SUMBER ILMU

Seperti yang kita maklum setiap ilmu dimuka bumi ini mempunyai bahan rujukannya yang tersendiri begitu juga dengan ilmu dalam islam ia mempunyai bahan rujukannya sendiri. Antara bahan atau sumber ilmu bagi islam ialah :
1. Al-Quran
2. Sunnah
3. Akal dan pancaindera
4. Fenomena tabii
5. Ilham \ mimpi

Jadi segala ilmu yang telah diperkembangkan oleh islam semuanya berpandukan dari sumber-sumber ini. Oleh yang demikian islam amat menghormati segala keputusan ilmu yang telah sedia ada.

Al-Quran
Al-quran merupakan sumber rujukan yang terpenting bagi umat islam. Ia menerangkan semua perkara yang perlu dalam kehidupan manusia. Oleh itu ia juga merupakan sumber ilmu terpenting kepada manusia. Kandunganya meliputi ilmu-ilmu ketuhanan sejarah masa lampau gambaran masa akan datang seperti hari akhirat, qiamat aspek-aspek perundangan politik sains dan sebagainya. Dalam mendidik manusia al-quran menggunakan berbagai bentuk pendekatan bersesuaian dengan keperluan dan kemampuan akal manusia. Al-quran juga adalah pembimbing yang akan memberi panduan kepada manuasia untuk memperkembangkan ilmu mereka. Kedudukan al-quran sebagai sumber ilmu memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Allah S.W.T. sendiri telah menyatakan “Dia” adalah sebagaiYang Maha Alim dan Maha mengetahui firman Alah :


Maksudnya: “ Apakah kamu tidak mengetahui bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa saja yang ada di langit dan di bumi bahawasanya yang demikian itu terdapat dalam sebuah kitab(luh mahfuz). Sesungguhnya yang demikian itu teramat mudah bagi Allah.

Dalam ayat yang lain Allah berfirman: Maksudnya: “lalu dijadikan-Nya tujuh langit dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu

Perhatikanlah ayat –ayat di atas ia dapat menambahkan lagi keyakinan kita kepada al – quran dan Allah S.W.T. sebagai sumber ilmu, ia juga menunjukkan sifat keluasan ilmu itu. Ilmu-ilmu Allah adalah amat luas tetapi malangnya manusia hari ini mudah angkuh dan sombong dengan sedikit ilmu yang dapat difikirkan oleh akal fikiran yang sangat terbatas. Sedangkan ilmu tuhan itu adalah tidak terbatas. Inilah sifat ilmu yang harus difahami supaya dapat melahirkan ilmuan dan intelektual yang bersifat tawaduk.


Al – Sunnah
Sunnah nabi juga merupakan sumber rujukan kita. Rasullullah S.A.W. merupakan seorang rasul yang diutuskan oleh Allah untuk mengajar kita tentang apa yang diketahuinya. Segala yang dinisbahkan kepada manusia samada perkataan perbuatan ataupun pengakuan semuanya merupakan pedoman dan teladan kepada manusia. Inilah sumbangan besar rasul kepada umat manusia. Firman Allah:

Maksudnya: “sebagaimana kami telah mengutuskan kepadamu Rasul diantara kamu yang membacakan ayat-ayat kami kepada kamu al-kitab dan hikmah serta mengajarkan kamu apa yang belum kamu tahu.


Oleh kerana tugas setiap rasul adalah untuk mengajar kepada manusia tentang kitab dan ajaran-ajaran Tuhan,apa yang diajarkan oleh mereka serta perbuatan mereka juga merupakan panduan dan teladan bagi umat manusia. Rsul-rasul tidak meninggalkan apa-apa harta peninggalan selepas kewafatan. Satu-satumya harta yang ditinggalkan ialah ilmu mereka sahaja. Itu sajalah yang diwariskan kepada umatnya yang termaktub didalam al-quran dan sunnah

Akal dan pancaindera.
Allah telah menjadikan manusia dengan sebaik-sebaik kejadian dari kalangan makhluknya. Ini kerana selain dari memiliki kesempurnaan fizikal manusia juga telah dianugerahkan oleh Allah alat untuk berfikir seperti akal hati dan pancaindera yang lengkap. Alat-alat inilah yang membantu manusia untuk berfikir mengkaji membuat eksperimen dan lain-lain. Walau bagaimanapun akal dan pancaindera semata-mata tidak mampu untuk menemui kebenaran yang mutlak. Oleh kerana akal merupakan ciptaan Allah kepada manusia, maka sebagi makhluk ia bersifat terbatas. Mustahil bagi akal manusia merumuskan jawapan tentang persoalan metafizik tanpa panduan. Jadi fungsi akal tidak boleh secara berdiri secara mutlak. Oleh yang demikian walaupun kita mempunyau\i akal untuk berfikir namun kita masih perlukan panduan dalam mempelajari ilmu.

Fenomenea tabii
Kita telah mengetahui bahawa Allah menciptakan alam ini sebagai satu anugerah kepada umat manusia. Disitu kita dapat memperolehi manfaat serta mencari pengiktibaran terhadap kebesaran-Nya. Sebagai sebuah kitab Allah yang terbentang luas alam ini menjadi sumber ilmu ynag penting untuk manusia. Disinilah peranan akal manusia perlu dimainkan dengan semaksimum yang mungkin serta beserta bimbingan al-quran dan sunnah. Khazanah alam yang kaya raya ini melahirkan banyak ilham kepada manusia untuk meneroka pelbagai bidang ilmu dari masa ke semasa. Dalam firman-Nya







Maksudnya: dialah yang telah menurunkan air hujan dari langit untuk kamu. Sebahagiannya menjadi minuman dan sebahagianya menyuburkan tumbuh-tumbuhan yang pada tempat tumbuhnya kamu mengembala ternakanmu. Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan tanam-tanaman zaitun kurma anggur dan segala macam buah-buahan.

Ilham / institusi / mimpi
Ilham dan institusi merupakan satu daripada sumber ilmu bagi manusia. Ia berlaku kepada sesiapa yang dikehendaki oleh Allah dari kalangan umatnya yang bertaqwa. Sumber ini lebih banyak berkait dengan deria batin seseorang. Ilham ialah idea yang diberikan oleh Allah kepada seseorang untuk melakukan sesuatu atau meninggalkanya.

KONSEP ILMU DALAM ISLAM.
Pendahuluan
Singapura dengan mudah jatuh ke tangan Jepun dalam tahun 1942, sebab yang terbesar ialah mudah sekali: meriam-meriam besarnya yang terikat secara kekal di landasan konkrit yang menghala kelaut. Stategi tentera singapura membuat andaian bahawa cabaran dari pihak musuh yang akan datang dari arah laut. Apabila serangan musuh datang dari belakang melalui hutan-hutan belantara pertahanan singapura yang dianggap sebagai kubu yang mustahil untuk ditembusi ternyata tidak berkesan lagi. Meriam-meriam itu memang perkasa tetapi ia menghadap kearah yang salah. Pendidikan pun akan gagal menghasilkan buah yang dinantikan sekiranya ia memilih konsep yang salah. (1). Jadi konsep ilmu dalam islam ialah konsep persepaduan dimana ia tidak melibatkan hanya satu bahagian sahaja.
Penerangan
Konnsep pendidikan yang bersatu ini yang berdasarkan kepada konsep ilmu yang sepadu yang merupakan keistimewaan islam yang berlawanan sekali dengan aliran pemikiran yang memisahkan ilmu kedalam dua water-tight compartments yang tidak dapat di damaikan iaitu yang disebut di Barat
sebagai theology and science atau religious knowledge dengan secular knowledge atau faith dan knowledge. Pengkotakan yang dipaksakan ini tidak dapat berlaku dan tidak dibenarkan berlaku di dalam pendidikan islam oleh kerana isi kandungan thelogy dan science di didalam islam tidak menentang satu sama lain malah ia bersifat isi mengisi dan lengkap melengkapi. Kedua-duanya lahir dari sumber yang satu ia itu tauhid. Sebaliknya sejarah peradaban barat dari zaman pertengahanya sampai kepada zaman moden menunjukkan pertarungan yang hebat antara theology dan science yang akhirnya dimenangi oleh science. Sebab permulaan timbulnya permusuhan itu tidak lain oleh kerana theology yang mengemukakan dogma-dogma yang yang anti rasional yang hendak dikemukakan. Suasana kemelut yang dihadapi dunia dewasa ini pada dasarnya berpunca dari dua faktor. Jadi disini dapat kaita ketahui bahawa konsep ilmu dalam islam memeang memainkan peranan yang cukup penting dalam perkembangan ilmu. konsep-konsep inilah yang bertindak sebagai ibu atau pembukaan kepada ilmu yang lain, disamping itu juga tanpa konsep ilmu ini nescaya ilmu-ilmu yang lain tidak dapat berkembang


nota kaki: sumber dari Abdullah Ishak(1995) Pendidikan islam dan Pengaruhnya di Malaysia

TUJUAN DAN KESAN KONSEP ILMU DALAM ISLAM


1. Mewujudkan masyarakat berilmu
Dari sini maka lahirlah masyarakat yang berilmu cintakan ilmu dan sentiasa berlumba-lumba untuk memiliki ilmu. Fenomena ini akan melahirkan masyaarakat yang berilmu dan meletakkan ilmu di tempat yang tertinggi dalam sistem hidup mereka.

2. Melahirkan generasi yang berwibawa
sekarang kita menjadi umat yang dipersendakan oleh umat lain tentang kekurangan ilmu dan penguasaan ilmu yang tidak berkonsep, maka dengan adanya atau mengikut konsep yang betul maka akan lahirlah generasi yang berwibawa.

3. Melahirkan masyarakat yang sejahtera dan harmonis.
Oleh kerana konsep ilmu yang digunakan syumul dan dan sepadu maka akan wujudlah satu masyarakat yang sejahtera dan harmonis

4. Menjana kekuatan ummah
setelah semua diatas berjaya maka akan membantu dalam menjana kekuatan ummah, iaitu yang tidak boleh diperlekeh-lekehkan oleh umat lain.






BUDAYA ILMU
Pengetahuan penting dalam kehidupan manusia. Ilmu menjadi obor menerangi kehidupan manusia. Tanpa ilmu, manusia senang ditipu dan dipesongkan dalam kehidupan mereka. Sesuai dengan konsep ilmu untuk kesempurnaan kehidupan manusia, maka gerakan secara berwibawa dan berterusan harus ditingkatkan oleh kerajaan dan NGO supaya matlamat keharmonian hidup mestilah terpelihara, aman dan tenteram. Bagi NGO budaya,kecemerlangan ilmu dunia dan akhirat hendaklah diprogramkan dan dilaksanakan.

Mengadakan kursus tentang kehidupan dunia dan akhirat secara berterusan kepada NGO budaya.

Mengadakan program latihan yang selari dan selaras dengan Islam kepada aktivitis kebudayaan dan kesenian. Aspek-aspek kesenian ini bukan sahaja boleh meningkat taraf ekonomi setelah dimanipulasikan ilmu ke dalam diri mereka, malah kesenian ini juga dapat memberi kepuasan dii dan kefahaman mereka terhadap pencipta sebenar(Al –Khaliq).

Mengadakan program ceramah tentang kepentingan ilmu kepada masyarakat satu budaya yang perlu diamalkan dalam semua aspek kehidupan harian.

Menerbitkan buku, jurnal dan risalah untuk menggalakkan perkembangan ilmu dalam masyarakat.
Mempertingkatkan budaya membaca dikalangan masyarakat.

KESIMPULAN
Jadi dari semua yang telah kita lihat dan teliti ternyata konsep ilmu dalam dalam islam banyak membantu dalam perkembangan ilmu-ilmu yang lain dan juga ianya lebih banyak memberikan contoh yang baik dalam teknik belajar dan juga cara penyampaian ilmu yang berkesan dan kesan positif kepada indivdu dan juga masyarakat.

PERJUANGAN RASULULLAH S.A.W. SEBAGAI PESURUH ALLAH S.W.T UNTUK MENEGAKKAN SYIAR ISLAM

PERJUANGAN RASULULLAH S.A.W. SEBAGAI PESURUH ALLAH S.W.T UNTUK MENEGAKKAN SYIAR ISLAM


Nabi Muhammad s.a.w selaku makhluk terpilih dan contoh terbaik kepada semua umat Islam di muka bumi ini bukanlah calang-calang orangnya sehingga sanggup dan mampu melakukan satu perjuangan yang begitu besar dan hebat. Perjuangan beliau untuk menegakkan agama Islam di kalangan masyarakat Jahilliyah yang sudah jauh terpesong dari jalan yang benar bukanlah perkara mudah,dan ianya menuntut pengorbanan dari segi mental,spiritual dan rohaniah. Atas perlindungan dan pimpinan dari Allah s.w.t. , semuanya dapat diatasi oleh pejuang terulung Islam ini.

Perjuangan Rasulullah S.A.W.

Perjuangan Rasulullah S.A.W. untuk menegakkan syiar Islam bermula setelah baginda dilantik menjadi Rasul. Kerasulan baginda berlaku selang 40 hari setelah baginda menerima wahyu pertama yang menandakan baginda telah dilantik manjadi nabi. Baginda menerima wahyu pertama pada malam 17 Ramadhan tahun 41 dari umur baginda melalui perantaraannya,iaitu malaikat Jibril a. s. ketika baginda di Gua Hira` yang terletak di Jabal An-Nur,kira-kira 6 batu jauhnya dari kota suci Mekah. Mengikut pendapat ustaz Muhammad Farid Wajdi,pemergian nabi Muhammad S.A.W. berulang-alik ke Gua Hira` terutamanya ketika usia baginda mendekati 40 tahun semata-mata untuk tahannus. Maksud tahannus ialah tabarrur. Tabarrur pula bererti berbuat bakti. Ahli-ahli sejarah pertama seperti Ibnu Hisyam di dalam Siratun Nabi menyebut asal perkataan tahannus ialah dari kalimah tahannuf dan tahannuf itu dari hanif,iaitu mendekatkan diri kepada Allah dengan mengikuti agama Ibrahim. Ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa baginda mempunyai maksud tertentu terutamanya dalam usaha baginda untuk memantapkan jiwa serta mengumpul dan membulatkan fikirannya yang kian hari bergolak.

Pemilihan Gua Hira` adalah amat bertepatan dengan usaha baginda untuk memantapkan jiwa baginda agar tidak merasa gentar dan melenyapkan rasa takut serta melatih diri baginda hidup dalam kesusahan. Melalui perkara sebeginilah baginda mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada Rasulullah S.A.W. sebagai penolong dan pemimpin seluruh alam yang luas ini. Susah payah baginda untuk sampai dan berada di Gua Hira` ini bolehlah dianggap sebagai perjuangan batin baginda dan ianya merupakan titik tolak bagi perjuangan-perjuangan yang lebih besar pada masa-masa yang akan datang.

Setelah beberapa ketika lamanya menghilangkan diri,Malaikat Jibril a. s. datang menemui Rasulullah S.A.W. buat kali kedua di dalam bentuk rupanya yang asal yang memenuhi segala ruangan di antara langit dan bumi,dan dengan segera melaungkan kata-kata yang berbunyi seperti berikut:

Maksudnya:”Wahai Muhammad!Sekarang ini engkaulah Rasulullah dan
aku adalah Malaikat Jibril!”

Nabi Muhammad S.A.W. pun segera pulang ke rumah kerana terlalu terkejut dan menyuruh isteri baginda,iaitu Saiditina Khadijah menyelimutinya. Lalu,Malaikat Jibril a. s. datang membacakan wahyu:

Maksudnya:”Wahai orang yang berselimut! Bangunlah dan peringatkanlah
(manusia). Dan Tuhan engkau,hendaklah engkau besarkan.
Dan pakaian engkau,hendaklah engkau bersihkan. Dan
perbuatan dosa,hendaklah engkau tinggalkan. Dan janganlah
engkau banyak memberi(kerana hendak) mendapat(balasan)
yang lebih banyak. Dan kerana(memenuhi perintah) Tuhan
engkau,hendaklah engkau bersabar. ”
(Al-Mudaththir:1-7)

Dengan turunnya ayat ini,ini manandakan secara resminya Nabi Muhammad S.A.W. menjadi Rasulullah untuk menerima dan melaksanakan segala titah perintah Allah S.A.W. dan sebagai rahmat kepada sekalian manusia,jin serta seluruh alam yang terbentang luas ini. Ianya sebagai mana yang terkandung dalam firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

Maksudnya:”Dan tidak Aku utuskan engkau(Muhammad) melainkan
sebagai rahmat kepada seluruh alam. ”

Oleh kerana itu,adalah menjadi tugas dan tanggungjawab baginda Rasulullah S.A.W. membawa risalah yang amat besar ini,iaitu risalah tauhid kepada seluruh umat manusia agar mereka tunduk menyerah dan menghambakan diri di bawah keesaan Allah S.A.W. Risalah tauhid inilah yang diperjuangkan hingga ke hayat akhir Rasulullah S.A.W. Kini,kesan daripada perjuangan murni Rasulullah ini boleh dilihat di seluruh alam ini,iaitu umat Islam terdapat di merata sudut dunia.

Pendekatan Rasulullah S.A.W.

Perjuangan Rasulullah S.A.W. dalam menegakkan kalimah tauhid bolehlah dikaitkan dengan gerakan dakwah dan jihad baginda. Hal ini boleh diperhatikan melalui firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

Maksudnya:”Hai Rasul,sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari
Tuhanmu. Dan jika kamu tidak kerjakan(apa yang diperintah
-kan itu)kamu tidak menyampaikan risalahNya,padahal
Allah memelihara kamu dari(gangguan)manusia. Dan Allah
Tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir. ”
(Al-Maidah:67)

Islam adalah agama wahyu,agama risalah yang merupakan pesan ketuhanan yang mesti disampaikan kepada segenap lapisan umat manusia. Islam tidak sama dengan agama lain,yang merupakan agama budaya. Islam adalah satu-satunya agama yang diperakui Allah S.W.T sebagai agama yang benar. Islam adalah agama dakwah di mana semua umat Islam berkewajipan mengajak manusia dengan segala macam cara dan media,agar menerima kebenaran agama Allah,meyakini dan mengamalkan dalam segala aspek kehidupan.

Di dalam hal ini,Said Ramadan Al-Buti dalam bukunya Fiqh Al-Sirah menyebut bahawa Rasulullah S.A.W. di dalam usahanya untuk berdakwah,baginda telah melalui beberapa peringkat yang berlainan,iaitu:

Peringkat pertama:seruan secara sulit memakan masa tiga tahun.
Peringkat kedua :seruan secara terang-terangan tanpa kekerasan berjalan
sehingga berlakunya Hijrah.
Peringkat ketiga :dakwah secara terang-terangan menggunakan senjata
untuk mempertahankan diri berjalan hingga pembukaan
Tanah Suci Mekah.
Peringkat kempat :dakwah secara terang-terangan dan mengangkat senjata
terhadap mereka yang cuba menghalang perjalanan
dakwah. Dalam peringkat inilah dipraktikkan syariat-syariat
Islam dan perintah jihad pun diturunkan.

Secara ringkasnya,peringkat pertama dan kedua merupakan peringkat dakwah baginda di Mekah dan dua peringkat seterusnya adalah semasa baginda berada di Madinah.

a)Peringkat awal:dakwah di Mekah

Pada peringkat awalnya,dakwah Rasulullah di Mekah berlaku secara sulit. Langkah pertama baginda,ialah untuk menyebarkan Islam kepada mereka yang paling hampir kepada baginda sahaja. Pada mulanya,risalah tauhid ini disampaikan kepada isteri baginda sahaja iaitu Saidatina Khadijah yang muncul sebagai orang yang pertama memeluk agama Islam. Kemudiannya diikuti dengan Ali bin Abi Talib,Zaid bin Harithah yang merupakan orang suruhan dan anak angkat nabi,Abu Bakar bin Quhafah, Uthman bin Affan,Al-Zubair bin Awwam,Abdul Rahman bin Auf,Saad bin Abi Waqqas dan lain-lain lagi.

Dakwah ini dirahsiakan sehingga memeksa Rasulullah dan umat Islam yang lain terpaksa ke gua-gua dan lereng-lereng bukit untuk menunaikan sembahyang bersama sahabat-sahabatnya supaya tidak dilihat oleh orang lain. Pada,suatu hari,perbuatan Rasulullah ini telah dilihat ole Abu Talib,iaitu bapa saudara baginda,lalu ia bertanya kepercayaan baru apakah yang telah dianuti olehnya. Rasulullah S.A.W. menjawab bahawa ini adalah agama neneknya,Ibrahim. Lantas Abu Talib,berkata,walaupun ia tidak menerima agama ini,tetapi ia membenarkan Rasulullah S.A.W. menganutnya dan akan terus melindunginya.

Ketika pemeluk agama Islam meningkat kepada tiga puluh orang lelaki dan perempuan,Rasulullah S.A.W. memilih suatu tempat yang agak terpencil iaitu di rumah Al-arqam Bin Abi Al-Arqam. Di situ,baginda menyampaikan seruan Islam dan tunjuk ajar baginda. Kemudian,pengikut agama Islam meningkat kepada empat puluh orang dan kebanyakkannya terdiri daripada golongan fakir miskin dan hamba sahaya yang tidak mempunyai tempat di masyarakat Quraisy.

Hikmat dakwah secara sulit adalah untuk memastikan mereka yang memeluk Islam ini benar-benar cenderung dan minat kepada seruan dakwahnya. Ini adalah pengajaran kepada pendakwah di masa yang akan datang supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada ketika menjalankan tugas dan mengkajinya untuk sampai ke matlamat dan tujuan utama dakwah.

Setelah tiga tahun dakwah secara sulit ini berlaku,maka Allah S.A.W. menurunkan perintah supaya dakwah ini dijalankan secara terang-terangan, sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud:

Maksudnya:”Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala
apa yang diperintahkan(kepada kamu) dan berpalinglah
dari orang-orang musyrik. ”

Menyahut seruan Allah S.W.T. ini,perkara pertama yang baginda lakukan ialah dengan mengumpul Bani Fihr dan Bani Adi di atas bukit Safa. Kesemua mereka hadir,dan bagi yang tidak hadir dihantarkan wakil bagi mewakili mereka. Kemudian Rasulullah S.A.W. pun berkata:”Sesungguhnya aku ini pembawa berita yang menakutkan iaitu di hadapanku ini suatu azab sengsara yang paling hebat. ” Abu Lahab yang turut menghadiri perjumpaan itu pun bangun lalu berkata “Binasalah engkau ini Muhammad,apakah untuk ini saja yang engkau kumpulkan kami?”Kemudian turunlah ayat Al-Quran iaitu surah Al-Masad. Selepas itu,baginda menggunakan pendekatan yang telah di tunjuk ajarkan kepadanya oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya:

Maksudnya:”Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang
terdekat. Dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang
yang mengikutimu iaitu orang-orang yang beriman. ”
(Al-Syu`ara:14&15)

Sebagai menyambut seruan Allah di atas,rasulullah s.a.w. telah mengumpul kaum kerabatnya seperti Ka`b bin Luai,Bani Murran bin Ka`b,Bani Hasyim, Bani Abdul Manaf,Bani Abdul Mutalib serta anaknya Fatimah dan menyeru mereka selamatkan mereka dan hindarkan diri mereka dari api neraka. Namun seruan baginda mendapat reaksi negatif dari kaum kafir Quraisy. Baginda menerangkan kepada mereka di mana berhala yang diperbuat daripada batu itu yang kemudiannya disembah itu langsung tidak memberi faedah dan menbahayakan mereka.

Akibat daripada kecaman Rasulullah S.A.W. terhadap berhala dan penyembahannya,baginda telah ditentang secara habis-habisan oleh kafir Quraisy kecuali mereka yang memeluk Islam serta bapa saudaranya iaitu Abu Talib. Mereka inilah yang mempertahankan rasulullah s.a.w. dari serangan
kafir Quraisy. Kafir Quraisy menentang dengan menghina dan mengejek baginda. Namun itu tidak sedikit pun melunturkan semangat baginda untuk menyebarkan Islam,dan ini menunjukkan betapa kuatnya jati diri dan kesabaran yang dimiliki oleh Rasulullah S.A.W. Di antara penghinaan-penghinaan yang dilemparkan kepada Rasulullah S.A.W. ialah:

1. Mereka mencampakkan duri-duri yang tajam di jalan yang dilalui oleh Rasulullah S.A.W. dan ketua-ketua masyarakat yang lain.
2. Kafir Quraisy membuat bising ketika baginda bersolat.
3. Perut-perut binatang yang kotor serta jijik diletakkan di belakang baginda ketika baginda sedang sujud.
4. Leher Rasulullah S.A.W. diikat dan dijerut sehingga terbeliak matanya.
5. Najis binatang yang jijik lagi kotor dilemparkan ke pintu rumah baginda.

Namun semua tentangan itu gagal untuk menghalang baginda daripada meneruskan perjuangan baginda untuk menyebarkan agama Islam. Kemuliaan akhlak baginda dan keimanan yang teguh telah menenangkan beliau.

Apabila penghinaan dan ejekan tidak meninggalkan kesan,helah secara lembut dan halus pula digunakan oleh kafir Quraisy. Diantaranya ialah,mereka mengemukakan tawaran seperti harta benda dan kekayaan,kepimpinan atau akan dilantik sebagai raja sekiranya baginda sanggup meninggalkan perjuangannya sebagai mana yang tercatat dalam cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Uthbah bin Rabia ketika beliau dihantar menemui Rasulullah S.A.W.

Penindasan ini bukan sahaja ditujukan kepada Rasulullah S.A.W sahaja,malahan sesiapa saja dari pengikut-pengikutnya,contohnya:

1. Bilal bin Rabah dihumbankan ke atas pasir yang panas terik dan seketul batu yang besar diletakkan ke atas dadanya,namun lidahnya sentiasa menyebut perkataan “Ahad,Allah Ahad. ”
2. Ammar bin Yasir dilemparkan di atas pasir yang panas dan dipukul hingga pengsan. Keluarganya dicampak ke air dan dipaksa baring di atas besi yang panas membara. Ibunya Sumaiyah dibunuh oleh Abu Jahal.
3. Zunairah,seorang hamba perempuan yang bekerja di rumah Saidina Omar,telah dibelasah hingga buta kedua belah matanya oleh Abu Jahal.

Peristiwa Israk dan Mikraj pula telah memberi kekuatan baru kepada Rasulullah dan para pengikutnya. Bai`ah(ikrar) yang diberikan oleh kaum Ansar juga membuka medan perjuangan yang baru,dan turunnya wahyu yang membayangkan keizinan berhijrah ke Madinah:

Maksudnya:”Sesungguhnya mereka yang beriman dan berhijrah serta
berjihad dengan harta dan nyawanya pada jalan Allah……”
(Al-Anfal:72)

b)Peringkat kedua:Dakwah di Madinah.

Rasulullah S.A.W. pun berhijrah ke Yathrib atau nama barunya Madinah dengan para pengikut baginda pada 1 Muharram. Di Madinah,usaha pemantapan akidah dan dakwah berlaku secara aman. Baginda juga telah mengambil beberapa langkah ke arah perubahan baik dari segi sosio-budaya,politik mahu pun kenegaraan. Diantara langkah-langkah itu ialah:

1. Mempersaudarakan orang-orang Ansar dan Muhajirrin di mana orang-orang Ansar bukan setakat melindungi keselamatan orang-orang Muhajirrin malah memberi tempat tinggal,harta benda,isteri dan lain-lain lagi.

2. Melaksanakan syariat dengan turunnya perintah berpuasa,zakat dan haji. Rasulullah S.A.W. juga berpeluang mendirikan masjid-masjid seperti masjid Qubaa` dan masjid An-Nabawi sebagai tempat ibadat,pendidikan dan pengajaran,juga sebagai tempat pentadbiran hal negara Islam.

3. Membentuk Perlembagaan Madinah(Sahifah Madinah),dimana orang Islam bebas menjalankan seruan Islam di sekitar Madinah. Dengan wujudnya Perlembagaan Madinah,maka terbentuklah negara Islam yang pertama iaitu Madinah dengan Nabi Muhammad S.A.W. sebagai ketua negara.

Namun begitu,Rasulullah S.A.W. masih tetap menghadapi masalah dari empat golongan manusia yang lain,iaitu:

1. Golongan Mu`aahid(golongan yang berdamai) iaitu golongan Yahudi yang membuat perjanjian dengan baginda dalam Perlembagaan Madinah.
2. Golongan Kafir Musyrik iaitu kaum Quraisy dan pemerintah Mekah yang bermusuh dengan mereka.
3. Golongan Munafiqin(pura-pura Islam) iaitu penduduk Madinah yang melakukan gerakan bawah tanah untuk menghancurkan pemerintahan Rasulullah S.A.W.
4. Golongan atas pagar iaitu golongan yang mengambil peluang dengan menyokong pihak yang lebih kuat.

Selepas sekian lama,berlakulah beberapa peperangan yang kebanyakkannya dipimpin oleh baginda dan membawa kejayaan kepada Rasulullah S.A.W. seperti kejayaan baginda membuka negara Islam yang pertama di dunia iaitu Madinah Al-Muwarrah.

Faktor-faktor Kejayaan Rasulullah

Diantara faktor-faktor kejayaan Rasulullah S.A.W. ialah:

1. Kesabaran dalam menjalankan seruan Allah S.W.T. Rasulullah S.A.W. merupakan model Islam terbaik bagi semua umat Islam di dunia ini.

2. Istiqamah dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya oleh Allah S.W.T. untuk menyebarkan agama Islam kepada seluruh umat manusia.

3. Sifat kepimpinan baginda yang bijak di dalam membuat keputusan.

4. Akidah yang mantap menjadikan Rasulullah S.A.W. dan pengikut-pengikutnya sentiasa bersemangat waja dan tidak takut menghadapi tentangan dari Kafir Quraisy.
5. Sentiasa mendapat bimbingan,petunjuk dan pertolongan dari Allah S.W.T. Malahan sebagai kekasih Allah S.W.T. ,doa baginda sentiasa dimakbulkan oleh Allah S.W.T.

6. Akhlak baginda yang tidak sukakan kekerasan. Baginda sendiri tidak pernah menindas orang lain dengan keistimewaan yang ada padanya. Baginda juga tidak pernah berlebihan dalam percakapan dan tidak pernah menghina sesiapa. Sebaliknya,baginda tunduk sabar terhadap segala penganiayaan yang dilakukan oleh orang lain kepadanya.

Kesimpulan

Rasulullah S.A.W. merupakan manusia terunggul yang pernah wujud di dunia ini. Tidak ada siapa pun yang mampu yang mampu menandingi kehebatan baginda sehingga mampu membangunkan agama yang mulia ini. Semangat perjuangan baginda seharusnya dicontohi oleh semua umat Islam di dunia ini. Oleh itu,kita sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W. seharusnya mencontohi semangat baginda untuk berdakwah dan mengikuti sunnahnya agar kita akan menjadi manusia yang dirahmati dan diberkati Allah S.W.T.

Tuesday, 21 May 2013

Pendidikan

Pendidikan

Pendidikan merangkumi proses pengajaran dan pembelajaran kepakaran khusus, dan juga sesuatu yang tidak dapat dilihat tetapi lebih mendalam: pemberian pengetahuan, pertimbangan dan kebijaksanaan. Salah satu asas matlamat pendidikan adalah untuk mengajar kebudayaan melangkaui generasi.

 Secara Logis

Pendidikan berawal sejak dalam kandungan sampai mati.Pendidikan sangat penting di masa yang akan datang dan membantu dalam mencari pekerjaan.

Pendidikan mungkin bermula sebelum lahir seperti diharap oleh sesetengah penjaga yang memainkan muzik dan membaca kepada bayi dalam kandungan dengan harapan ia akan berkesan (mengajar) bayi mereka sebelum kelahiran.

Sesetengah yang lain, pergelutan dan kejayaan kehidupan seharian adalah lebih bererti daripada persekolahan rasmi. Seperti kata Mark Twain: "Saya tidak pernah mengizinkan persekolahan menjejaskan pendidikan saya."

Ahli keluarga mempunyai kesan pembelajaran yang amat mendalam -- sering kali lebih mendalam dari yang disedari mereka -- walaupun pengajaran ahli keluarga berlaku secara tidak rasmi.

Kini, komputer banyak memainkan peranan yang penting dalam pendidikan, sama ada sebagai alat bantu mengajar (Internet dan CD-ROM) atau pun melalui pendidikan atas talian (pendidikan jarak jauh).


Pendidikan merupakan salah satu aspek yang terpenting dalam sesebuah Negara.  Pendidikan dilihat mampu mengubah negara kepada tahap yang lebih baik dari segi peni ngkatan ekonomi, budaya, politik, sosial, dan sebagainya.  Dengan pendidikan kehidupan manusia boleh berubah dalam sekelip mata.  Pendidikan juga merupakan asas penting kepada setiap individu.  Pelbagai usaha yang telah dan akan dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam sesebuah Negara  bagi memastikan semua rakyatnya menerima pendidikan.
Justeru itu, apakah yang dimaksudkan dengan pendidikan?  Perkataan pendidikan mempunyai tafsiran yang pelbagai dan sentiasa berubah mengikut peredaran zaman, tujuan dan tugasnya.  Di sini akan dihuraikan beberapa maksud pendidikan yang telah dikemukakan oleh beberapa ahli falsafah dan tokoh ilmuan dari Barat  pandangan Barat dan Islam

Swift D.F di dalam bukunya “ Sociology of Education” menghuraikan pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh beberapa orang sarjana  dan Ilmuan dari Barat berkenaan dengan pendidikan.  Antaranya ialah, Plato berpendapat, pendidikan ialah suatu proses untuk membentuk individu yang berakhlak mulia.  Beliau menyokong pendapat Socrates bahawa tujuan pendidikan ialah member latihan moral kewarganaegaraan yang baik.  Menurut Aristotle pula, pendidikan ialah ilmu yang bersifat etikal dan politikal.  Mengikut beliau, tujuan pendidikan ialah memberikan setiap warganegara peluang untuk mencapai kebahagiaan hidup.

John McDonald menghuraikan perbezaan pendidikan diantara masyarakat primitif dengan masyarakat moden.  Pengertian pendidikan dalam masyarakat primitif ialah latihan vokasional dan pelajaran adat resam, kepercayaan serta cara sembahyang, dismapaikan melalui tunjuk ajar dengan secara tidak langsung daripada keluarga dan pergaulan dengan orang dewasa.  Manakala pengertian pendidikan bagi masyarakat moden pula merupakan latihan khusus  menguasai kemahiran dan memperolehi ilmu pengetahuan yang penting untuk kehidupan disampaikan melalui pengajaran secara langsung daripada guru yang berilmu tinggi serta mempunyai kemahiran mengajar.

John Dewey pula mengatakan bahawa pendidikan adalah satu proses perkembangan individu.  Mengikut beliau, pendidikan merupakan usaha mengatur ilmu pengetahuan untuk menambahkan lagi pengetahuan semula jadi yang ada padanya, supaya dapat hidup dengan lebih berguna dan lebih selamat lagi.
Atan Long pula di dalam bukunya bertajuk “Psikologi Pendidikan” memuatkan di dalamnya beberapa pandangan mengenai pendidikan yang telah dikemukakan oleh beberapa sarjana dan ilmuan Islam. Antaranya ialah; Syed Muhammad Qutb menyatakan bahawa pendidikan adalah proses membentuk manusia secara menyeluruh dan seimbang.  Menurut beliau, tujuan utama pendidikan ialah untuk memperkembangkan potensi intelek, fizikal, emosi dan rohani manusia kea rah tahao kesempurnaan.

Amar al-Shaibani berpendapat pendidikan adalah digunakan untuk melatih manusia membuat persiapan bagi kehidupan dunia dan akhirat.  Menurut al-Ghazali pula, proses pendidikan hendaklah merangkumi aspek intelek latihan jasmani serta pembinaan akhlak yang mulia, berani dan hormat -  menghormati.

Firman Allah di dalam Surah Al-Alaq ayat 1 yang bermaksud : “Bacalah!!! Dengan Nama Tuhanmu yang menjadikan”, jelas menunjukkan betapa peri pentingnya pendidikan kepada setiap umat manusia dengan tidak mengira jantina, agama, budaya, umur, keturunan dan sebagainya  Begitu juga dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud : “Menuntut ilmu itu wajib bagi bagi setiap lelaki dan perempuan”, jelas memberitahu kepada kita bahawa setiap orang tidak kira lelaki atau perempuan dikehendaki menuntut ilmu atau dalam erti kata lainnya mempunyai pendidikan.

Sharifah Alwiyah Alsagoff menghuraikan di dalam bukunya “Falsafah Pendidikan”  pengertian pendidikan sebagai satu proses atau aktiviti yang berikut:-
·         Pendidikan sebagai proses persekolahan formal.
·         Pendidikan sebagai proses latihan.
·         Pendidikan sebagai proses perkembangan fizikal, intelek, social dan emosi seseorang individu.
·         Pendidikan sebagai proses indoktrinasi dengan tujuan agar pelajar akan mempercayai apa yang disampaikan.
·         Pendidikan sebagai proses yang berterusan  untuk kemajuan individu seumur hidup.
·         Pendidikan sebagai aktiviti yang bersepadu untuk mencapai matlamat seperti memperolehi kemahiran pengetahuan dan sikap dengan secara integrasi.
·         Pendidikan sebagai satu disiplin, seni dan sains.

Mok Soon Sang di dalam bukunya “Pendidikan di Malaysia” merumuskan bahawa pendidikan ialah suatu proses atau aktiviti yang berusaha untuk  memperkembangkan fizikal, intelek, social dan emosi seseorang individu serta menambahkan kemahiran, kebolehan, pengetahuan dan pengalaman supaya dapat member kegembiraan, faedah dan kemajuan dalam kehidupannya, membantu dan mendorongnya bertindak dengan cara yang lebih sihat bagi faedah diri sendiri serta masyarakat, bangsa dan negaranya.

Menurut Anuar Ahmad (UKM), sesetengah orang  tidak dapat membezakan antara pendidikan asas dan pendidikan menengah.   Pendidikan asas adalah satu konsep yang besar dan luas.  Tanpa mengira usia atau ruang, pendidikan asas boleh sahaja bermula sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah, universiti atau usia tua.  Pendidikan asas yang dimaksudkan ialah satu komponen ilmu yang diberikan kepada individu meliputi asas-asas kehidupan sama ada sebagai seorang individu manusia atau sebagai ahli dalam sesebuah Negara.  Seringkali pendidikan asas dikaitkan dengan akronim 3M (membaca, menulis dan mengira).  Sebenarnya pendidikan asas juga meliputi soal pendidikan kesihatan dan penjagaan diri, kemahiran komunikasi dan berinteraksi serta berkaitan dengan pembangunan moral dan agama.

Kesimpulannya, pendidikan berupaya mengubah corak kehidupan seseorang ahli dalam sesebuah Negara.  Melalui pendidikan juga dapat membentuk masyarakat yang berakhlak tinggi, berpengetahuan luas, bijaksana dalam membuat keputusan, dan tegas dalam mengendalikan emosi seterusnya dapat memacu kegemilangan dan kecemerlangan sesebuah Negara.

Rujukan
Atan Long (1976-1978), Psikologi Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur
Mok Soon Sang (1991), Pendidikan Di Malaysia, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd, Kuala Lumpur
Sharifah Al-sagoff (1985), Sosiologi Pendidikan, Heinmann(Malaysia) Sdn.Bhd. Petaling Jaya
Swift, D.F (1969-1973), The Sociology of Education, Routledge & Keagan Paul, London